|
Lawatan Kaunselor Republik Sudan ke MAMPU OSCC |
|
|
Dua (2) orang wakil dari Kedutaan Republik Sudan telah mengadakan lawatan ke MAMPU OSCC serta sesi taklimat pada 22 Jun 2012 bertempat di Bilik Mesyuarat Cyber 2, Aras 2, MAMPU, Cyberjaya. Wakil yang hadir adalah En. Tariq Abdalla Ali Mohamed dan En. Asim Yasin. Kedua-duanya adalah kaunselor di Kedutaan Republik Sudan.
Taklimat telah dipengerusikan oleh Puan Tan King Ing, Timbalan Pengarah Seksyen Open Source dan Open Standard Sektor Awam MAMPU. Ia turut dihadiri oleh Puan Siti Hawa Mahadi, En. Ahmad Soupian Hamzah, En. Megat Amirul Izzat dan Puan Azura Abd Lazam.
Tujuan lawatan ini diadakan adalah atas hasrat Republik Sudan untuk berkolaborasi dengan Kerajaan Malaysia berkenaan dengan penggunaan Perisian Sumber Terbuka (OSS). Ini berdasarkan kepada kekangan yang dihadapi oleh Sudan dalam menjayakan Program OSS di negara mereka kerana pemilihan dan penggunaan perisian yang amat ketat serta penggunaan perisian Microsoft yang meluas.
Selain itu, hasrat untuk berkolaborasi ini adalah lanjutan daripada MOU yang pernah ditandatangani sebelum ini di antara pihak Sudan dan Malaysia semasa YABhg.Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Melalui pembentangan slaid oleh Puan Tan King Ing bertajuk 'MALAYSIAN PUBLIC SECTOR OSS MASTER PLAN', pihak Sudan telah menyatakan minat terhadap pelaksanaan OSS di Malaysia dan berharap ia dapat dilaksanakan di negara mereka. Puan Tan menyatakan bahawa program OSS telah menarik minat agensi Kerajaan kerana ia bukan sahaja dapat menjimatkan kos tetapi telah berjaya mencipta 'demand and supply' terhadap penggunaan OSS. Produk-produk OSCC juga turut dibentangkan.
Sekiranya usaha kolaborasi ini berjaya direalisasikan, pihak MAMPU OSCC akan memperkenalkan syarikat vendor yang akan membantu Sudan melaksanakan OSS di negara mereka melalui program-program latihan dan kursus yang bersesuaian. Sijil akan diberikan setelah selesai latihan.
Walau bagaimanapun, menurut Puan Tan, usaha kolaborasi ini bergantung kepada persetujuan dari pihak Kerajaan Sudan.
Melalui pertemuan ini dapat dilihat bahawa usaha Kerajaan mempertingkatkan penggunaan OSS di Malaysia turut mendapat perhatian daripada negara-negara lain dan ini merupakan sesuatu yang boleh dibanggakan.
 Sesi taklimat sedang berlangsung. Wakil MAMPU OSCC dan Kaunselor Sudan bergambar kenangan.
|